Penerbitan Kali Pertama

Meskipun single pertamanya, "Biar Sampai ke Bintang" kurang mendapat sambutan dari ramai peminat muzik tempatan, namun itu belum cukup memuaskan hati Asmidar, selepas menjuarai program realiti Vokal... Bukan Sekadar Rupa musim pertama pada Disember 2012.[6] Kali Pertama mencerita sedikit sebanyak tentang perjalanan Asmidar dalam industri muzik,[6] memuatkan sebanyak enam lagi lagu daripada komposer dan penulis lirik bukan calang-calang seperti Audi Mok, Taja (Meet Uncle Hussain), Hang Dimas (Hujan), Omar K, dan Ana Raffali.[6]

Pemilihan lagu dalam album ini kata Asmidar, ia merupakan atas perbincangan antara beliau dan pihak Warner Music Malaysia.[6] Setiap lagu dalam album ini mempunyai keistimewaan tersendiri.[6] Asmidar berkata banyak cabaran yang dihadapi sepanjang proses pembikinan album yang mengambil masa setahun ini. Pernah satu waktu, proses rakaman terpaksa dihentikan sehingga berminggu lamanya kerana dia mengalami batuk yang teruk.[6]

"Masa saya rakamkan lagu pertama untuk album ini, saya alami batuk yang teruk gara-gara makan durian. Saya memang tak boleh makan durian sepatutnya, sebab badan saya tak tahan panas. Entah macam mana saya boleh makan, hanya seulas, saya dah jatuh sakit. Sebab itu proses album ini ambil masa agak lama. Ditambah dengan kejadian-kejadian yang tidak dijangka telah berlaku."[6]

— Asmidar mengulas mengenai proses pembikinan album pertamanya.

Menyentuh mengenai konsep albumnya, Asmidar mengetengahkan elemen kupu-kupu sebagai simbolik mengenai perjalanan kerjaya nyanyiannya dan kehadirannya begitu sinonim dengan warna-warni yang menceriakan.[7] Keadaan itu digambarkan oleh Asmidar, boleh dikatakan serupa dengan perjalanan bidang seni beliau.[7]